Wednesday, March 25, 2009

KEMUNDURAN SAINS ISLAM DI ABAD INI: SALAH SIAPA?

"Pemerhati luar", Francis Giles, yang menulis dalam jurnal berprestij, Nature, 24 Mac 1983, terhadap kemunduran sains Islam kebelakangan ini, menimbulkan persoalan “What is wrong with Muslim science?” Inilah jawapannya:

Pada zaman kemuncaknya kira-kira satu ribu tahun dahulu, Negara Islam memberi sumbangan yang besar dalam bidang sains, terutamanya matematik dan perubatan. Baghdad, ketika zaman kegemilangannya dan Sepanyol selatan membina universiti dengan jumlah penuntut yang sangat banyak: pemerintah mendampingi ramai ahli sains dan artis. Prinsip kebebasan yang diamalkan membolehkan orang Islam, Yahudi dan Kristian bekerja bersama-sama. Kini, ini semua hanya kenangan. 

Perbelanjaan untuk sains dan teknologi mungkin meningkat akhir-akhir ini walaupun peningkatan ini terpaksa dihadkan kepada negara yang kaya dengan hasil minyak. Rantau ini diperintah oleh pemerintah diktator yang suka membuat kebajikan atau sebaliknya... merumitklan lagi usaha untuk membolehkan sains bertapak. Tidak hairanlah penghijrahan cendekiawan ke negara perindustrian terus melemahkan daya cendekia di seluruh Timur Tengah.

Ada pendapat mengatakan sains adalah budaya. Tarian gila-gila, goyangan pinggul, gelagat seperti orang gila semuanya diberi tepukan gemuruh. Inilah etika yang amat menyimpang daripada daya cendekia dan keintelektualan. Logiknya, semakin mendalam pengetahuan tentang kehebatan ciptaan Tuhan semakin terpegun dan terhinanya kita di hadapan sebenar-benar Pencipta dan bertambahlah sedar akan kekurangan kita. Bukan sebaliknya semakin bongkak dan angkuh untuk melawan kod etika yang telah ditetapkan Tuhan.

Pentadbir yang menguruskan penyelidikan sains juga mestilah seorang yang telah menjadi penyelidik yang bagus bagi suatu tempoh masa yang tertentu. Masalah yang timbul bagi pentadbir bukan penyelidik, mungkin sukar bagi mereka untuk melihat potensi jangka panjang bagi projek yang agak luar daripada kebiasaan. Contohnya, projek tentang mikrocip atau bioteknologi. Tambahan pula, pelaburan dalam penyelidikan sains memberikan hasil dalam jangka masa yang panjang, yang selalunya tidak nampak dan/atau tidak langsung.

Resipi untuk melahirkan ahli sains yang baik pada dasarnya sama seperti melahirkan ahli falsafah, pujangga atau pemikir unggul. Pada asasnya ia memerlukan suasana politik dan sosial yang sesuai mencakupi aspek kedunian dan hubungan dengan Pencipta serta sokongan daripada institusi dan penghargaan yang sewajarnya bagi usaha dan pencapaian yang baik. Mana mungkin ahli sains yang tidak mengenali Penciptanya ingin melahirkan sesuatu yang bermakna bagi kehidupan selepas mati yang pasti membingungkan benak pemikiran mereka.

Resipi inilah yang diguna pakai dalam Tamadun Islam semasa kegemilangannya. Para khalifah, termasuklah pada zaman pemerintahan bani Abbasiyyah sangat-sangat menaungi sains dan astronomi yang telah mantap sejak awal-awal lagi tanpa menghiraukan suasana politik. Al-Mansur, Harun Ar-Rasyid dan al-Mamun (sekitar 813-833 Masihi) sangat menekankan pembelajaran umum dan kajian astronomi serta subjek-subjek yang berkaitan dengannya. ‘Ibu sains’ ini mempunyai pertalian yang amat rapat dengan Islam. Aspek kosmos banyak kali disebut dalam al-Quran. Antaranya:

Dan lagi dalil yang terang untuk mereka (berfikir) ialah malam; Kami hilangkan siang daripadanya, maka dengan serta-merta mereka berada dalam gelap-gelita;
(Surah Yaa Sin:37)

Dan (sebahagian dari dalil yang tersebut ialah) matahari; ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya(orbit); itu adalah takdir Tuhan Yang Maha Kuasa, lagi Maha mengetahui; (Surah Yaa Sin:38)

Dan bulan pula Kami takdirkan Dia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredarannya kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya - (berbentuk melengkung) seperti tandan yang kering. (Surah Yaa Sin:39)

(dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mungkin baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing. (Surah Yaa Sin:40).

Sesungguhnya, mungkin tidak ada masyarakat agama lain selain masyarakat Islam yang begitu banyak sekali berinteraksi dengan astronomi baik untuk tujuan awam mahu pun keagamaan. Tidak hairanlah bidang astronomi mendapat perhatian ahli sains dan negara Islam semasa zaman kegemilangannya. Kemajuan astronomi pada masa tersebut mencambahkan lagi bidang-bidang berkaitan seperti matematik, geometri, fizik, optik, astrolab, sosiologi dan banyak lagi. Tidak hairanlah khalifah al-Mamun seorang ahli astronomi membayar upah yang mahal kepada penyelidik dan penterjemah beliau. Beliau juga merupakan pengasas kepada Baitul Hikmah (Akademi Kebijaksanaan).

Al-Khawarizmi yang terkenal dengan algebra dan ahli astronomi matematik,al-Battani yang menulis buku Handbook of astronomy yang sekian lama diguna oleh Barat juga hidup dalam zaman ini. Era ini juga melahirkan Ibnu al Haytham, seorang ahli fizik teragung sepanjang zaman yang dianggap bapa optik moden. Beliaulah yang menulis buku besar Optics yang dikatakan menjadi rujukan Newton(‘sekiranya saya dapat melihat lebih jauh, itu adalah kerana saya berdiri di atas bahu gergasi’) untuk membina teorinya. Namun Ibn al Haytham mengakhiri buku Opticsnya dengan penuh rendah hati dengan berkata:

“Walaupun semua yang saya tahu tentang ilmu ini ada dalam buku saya, ilmu saya terbatas dan mungkin terdapat kesilapan dalam penyelidikan saya. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.”

Ibnu Rushd juga mengakhiri bukunya, Incoherence of the Incoherence, dalam bab terakhir yang berkisar tentang sains alam dengan memohon maaf kerana mengambil masa pembaca dan memohon ampun daripada pembaca dan Tuhan atas kesilapan, alasan dan ketidaklancaran beliau.

Rasa rendah diri merupakan norma dan rukun asas sains Islam. Ahli sains islam amat perlu memahami batas kaedah saintifik, contohnya al- Biruni yang menghasilkan kira-kira 180 karya dalam pelbagai bidang seperti geometri, geografi, cahaya, astrolab, waktu dan musim, komet, agama, astrologi dan sosiologi, berkali-kali mengingatkan pembaca tentang batas kaedah (saintifik)nya. Sebenarnya apa yang dimaksudkan al-Biruni adalah kaedah yang sesuai dengan alam semula jadi berhubung dengan subjek yang dikaji. Inilah aspek sains Islam yang amat menghormati subjek yang dikajinya. Ahli sains Islam berusaha memahami bukan menguasai objek kajian mereka. Seperti mana dalam kajian optik oleh Ibn al Haytham dan manusia dalam kajian negara India oleh al Biruni yang amat menghormati subjek kajian mereka.


Kembali kepada zaman Bani Abbasiyyah, Baghdad muncul sebagai bandar raya saintifik Islam yang paling terkenal dan sukar ditandingi. Setelah berkembang pesat selam 500 tahun “Penjarahan Baghdad” berlaku pada pertengahan abad ke-13 ( 1258 Masihi) oleh Hulagu Khan. Banyak kitab-kitab ilmu yang berharga dibakar dan dimusnah oleh penakluk Baghdad. Satu bencana besar telah melanda dunia sains yang bukan sahaja kepada orang Islam tetapi dunia keseluruhannya. Cubaan untuk menghidupkan kembali sains telah berlangsung di beberapa pengkalan ilmu (Maraghah abad ke-13; Samarqand abad ke-15; Istanbul abad ke-16). Satu perkara yang menarik, orang Tartar yang telah menghancurkan Baghdad dan sains Islam cuba untuk menghidupkan sains Islam kembali di balai cerap Maraghah dengan bantuan Al Tusi.

Walau bagaimanapun, bagi umat Islam, usaha ini masih gagal mengembalikan sains Islam kepada keadaan asalnya. Revolusi sains dan teknologi hari ini dilihat lebih bergantung kepada perspektif Barat. Pastinya jiwa remaja Islam yang ragu-ragu dengan Islam, kerap kali menentang budaya dan tradisi Islam. Kejahilan ini amat-amat menuntut penjelasan yang rapi daripada ilmuan Islam dan mewujudkan kembali kredibiliti tradisi sains Islam yang amat disanjungi pada zaman silam.

Satu perkara yang menarik mutahkir ini, keinginan yang kuat yang daripada pelajar terbaik SPM tahun ini yang ingin meneruskan pengajian beliau dalam bidang fizik yang terkeluar daripada adat kebiasaan pelajar cemerlang sekarang yang lebih cenderung kepada bidang perubatan. Mungkinkah ini turning point kepada kebangkitan sains Islam di abad ini? Allahu a’lam.

Total Pageviews

free counters
Powered By Blogger