Saturday, September 19, 2009

Salam Aidilfitri, Kullu Am Wa Antum Bikhoir


Maaf Zahir & Batin

Sunday, August 30, 2009

SALAM RAMADHON

TAQWA ;TERLALU MUDAH UNTUK DISEBUT

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa"(Al Baqoroh:183).

Ayat ini cukup sinonim dengan bulan Ramadhon di mana umat Islam diwajibkan berpuasa pada bulan yang penuh barokah ini. Natijahnya, mudah-mudahan akan lahir umat atau pun generasi yang bertaqwa. Perkataan yang Allah gunakan cukup simbolik dan simplistik yang pasti mengundah gulanakan orang yang berpuasa kerana puasa kita mungkin tidak akan mendapat anugerah taqwa. Perkataan "la'lla" dalam ayat tadi sudah cukup untuk memberitahu kita anugerah taqwa itu bukanlah anugerah yang pasti atau mesti dapat kalau kita berpuasa. Persoalannya puasa yang bagaimana untuk mendapat taqwa? Mungkin dalam blog SATU PERSOALAN ade jawapannye tetapi yang pasti puasa yang menahan lapar dan dahaga sahaja tidak cukup untuk menghadirkan taqwa dalam hati orang yang beriman. Sama-sama kita bermuhasabah.

Sedikit perkongsian daripada artikel yang saya temui untuk memahami sedikit sebanyak tentang taqwa. Untuk rujukan lengkap klik di sini :

TAKRIF TAQWA


Kebanyakan orang tidak faham apa sebenarnya taqwa. Walaupun istilah taqwa selalu disebut tetapi ilmu tentang taqwa tidak pernah diajar.Syarat-syarat dan rukun-rukun taqwa juga tidak pernah dinyatakan. Orang sudah lali dengan perkataan taqwa. Sesetengah orang menganggap perkataan taqwa itu sudah tidak ada erti apa-apa lagi kerana kebanyakan orang tidak faham.

Sebab itu, setiap kali disuruh bertaqwa, orang tidak bertaqwa.Disebut Ittaqullah, ‘bertaqwalah kamu kepada Allah’,namun orang tidak bertaqwa juga. Walhal suruhan supaya bertaqwa itu disebut dalam setiap khutbah sembahyang Jumaat kerana ia adalah rukun khutbah. Kalau tidak disebut taqwa, tidak sah sembahyang Jumaat walaupun sembahyang khusyuk. Tetapi walaupun selalu disebut, orang tidak faham. Ia tidak jadi ilmu, ia tidak jadi amalan dan pegangan, jauh sekali untuk dihayati. Oleh itu macam mana hendak jadi orang yang bertaqwa.

Taqwa bukan setakat melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan. Bukan setakat menunai ketaatan dan menjauhkan kemaksiatan. Bukan setakat membuat apa yang disuruh dan
meninggalkan apa yang dilarang. Bukan juga setakat meninggalkan apa yang haram dan menunaikan apa yang fardhu. Bukan setakat menjauhkan yang syirik dengan beramal dan taat kepada Allah. Bukan setakat menjauhkan diri dari segala apa yang akan menjauhkan diri kita daripada Allah. Bukan setakat menghadkan diri kepada yang halal sahaja dan bukan setakat menghadkan diri kepada yang haram sahaja.

Kebanyakan orang tidak faham apa sebenarnya taqwa.Walaupun istilah taqwa selalu disebut tetapi ilmu tentang taqwa tidak pernah diajar. Jalan untuk mendapatkan taqwa beramal untuk menjuruskan ketaatan kepada Allah semata-mata.Inilah kupasan dan kefahaman tentang taqwa yang dibawa oleh para ustaz, para muallim, orang yang hafaz Quran dan Hadis bahkan juga para mufti dan kadhi. Taqwa itu tersangat dipermudahkan sehingga orang tidak merasakan bahawa taqwa itu penting dan perlu diperjuangkan demi untuk mendapat keselamatan di dunia dan Akhirat. Maksud taqwa sebenarnya lebih dalam dan lebih luas dari itu. Taqwa adalah antara perkara yang terpokok dalam agama.

Orang membuat apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang atau orang menunaikan ketaatan dan menjauhkan kemaksiatan, tidak semestinya berasaskan taqwa. Mereka taat mungkin kerana ada sebab-sebab lain. Mungkin mahu upah, mahu dipuji, mahu pengaruh atau untuk mengambil hati orang. Mereka meninggalkan apa yang dilarang pun mungkin ada sebab-sebab lain. Mungkin kerana mahu dihormati, mahu menjaga nama dan kedudukan, takut dihukum, takut orang mengata dan menghina atau takut dipulaukan orang.

TAKRIF

Bila disebut taqwa, orang terjemah sebagai takutkan Tuhan. Itu tidak betul. Taqwa bukan bererti takut. Taqwa pada Tuhan bukan bererti takutkan Tuhan. Takut kepada Tuhan hanyalah satu daripada sifat mahmudah yang terangkum dalam sifat taqwa tetapi ia bukan taqwa. Takut dalam bahasa Arab ialah khauf atau khasya.

Taqwa berasal dari perkataan waqa–yaqi–wiqoyah yang ertinya memelihara. Hujahnya ialah ayat Al Quran seperti berikut:

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu memelihara diri kamu dan keluarga kamu dari api Neraka.” (At Tahrim: 6)

Di dalam Al Quran, kerap Tuhan menyeru dengan kalimah ittaqu atau yattaqi. Di mana ada tambahan huruf pada asal kalimah waqa, ia membawa perubahan kepada makna. Di sini ittaqullah membawa maksud hendaklah kamu mengambil Allah sebagai pemelihara/pembenteng/pelindung. Iaitu hendaklah jadikan Tuhan itu pelindung. Jadikan Tuhan itu kubu atau benteng. Bila sudah berada dalam perlindungan, kubu atau benteng Tuhan, perkara yang negatif dan berbahaya tidak akan masuk atau tembus. Atau jadikan Tuhan itu dinding dari kejahatan.

Usaha untuk menjadikan Allah sebagai pemelihara atau pelindung atau pembenteng ialah dengan melaksanakan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah lahir dan batin. Dengan kata-kata yang lain, perkara yang disuruh itu ialah membina sifat-sifat mahmudah. Mengumpul dan menyuburkan sifat-sifat mahmudah itulah usaha bagi menjadikan Allah itu sebagai pemelihara atau pelindung. Membina sifat-sifat mahmudah itulah usaha ke arah taqwa.

Taqwa atau wiqoyah telah disalahertikan. Maksudnya telah disempitkan. Ia sebenarnya adalah lebih global dan luas. Ia adalah gudang mahmudah dan merupakan himpunan segala sifat-sifat mahmudah. Di situ ada sabar, redha, pemurah, berkasih sayang, pemaaf, memberi maaf, meminta maaf dan sebagainya. Seluruh sifat mahmudah itulah taqwa. Jadi, besarlah erti taqwa. Ia membawa keselamatan dunia dan Akhirat. Oleh itu, kalau dikatakan ittaqullah, maknanya yang sebenar ialah ‘hendaklah kamu mengambil Allah sebagai pemelihara’.

Oleh sebab istilah-istilah Islam telah banyak disalah guna dan disalahertikan, maka hilang berkatnya. Bila disebut istilahistilah Islam, tidak terasa apa-apa. Contohnya ialah perkataan ‘khalwat’. Maksudnya mulia iaitu menyendiri dengan Tuhan. Ia satu bentuk amalan sufi. Tetapi maksudnya itu telah diselewengkan dengan membawa erti ‘berdua-duaan lelaki dan perempuan yang bukan ajnabi’. Begitulah juga istilah ittaqullah ini. Setiap minggu pada hari Jumaat, dilaung-laungkan di mimbar masjid tetapi para jemaah tidak terasa apa-apa. Berkatnya telah hilang kerana maksudnya telah disalahertikan.

Untuk menjadi orang yang bertaqwa ertinya menjadi orang yang berada dalam perlindungan Tuhan atau dalam pemeliharaan Tuhan. Orang yang berada dalam benteng dan kubu Tuhan. Dia selamat dari serangan luar. Serangan luar tidak lut dan tidak mengenai dirinya. Orang bertaqwa itu seolah-olah telah dipakaikan baju besi atau jaket kalis peluru. Taqwa adalah pakaian jasad batin atau roh. Ia adalah amalan jiwa atau roh. Taqwa adalah perkara dalaman dan banyak melibatkan amalan hati. Kalau sungguh-sungguh diamalkan dan dihayati, akan lahir sifat-sifat mahmudah seperti jujur, adil, benar, berkasih sayang, lemah lembut, pemurah, tawadhuk, pemalu, bertimbang rasa, berperikemanusiaan, sabar, redha, tawakal, bertolak ansur, mengutamakan orang lain, pemaaf, amanah, tekun, rajin, lapang dada, bekerjasama, simpati, belas kasihan dan sebagainya.

Orang yang bertaqwa adalah orang yang luar biasa. Sebab dia manusia yang sudah bersifat malaikat. Sifat malaikat sudah ada dalam dirinya. Dia sudah jadi orang Tuhan. Sebab itulah dia dibantu dan dibela oleh Tuhan. Orang bertaqwa sahaja yang akan selamat di dunia dan di Akhirat. Wallahu a'lam.

Thursday, July 30, 2009

SISTERS IN ISLAM ; SESAT DAN MENYESATKAN

Tergerak hati saya untuk memberi sedikit komentar memandangkan pertubuhan ini terlampau berani mengeluarkan kenyataan yang jika saya sebut dalam bahasa kasarnya sesat dan menyesatkan masyarakat. Mungkin di sini adalah medan terbaik untuk menjawab agenda SIS yang memperjuangkan hak kesamarataan wanita di samping lelaki kerana SIS tampaknya bebas untuk berdakwah dalam negara kita. Adakah ISA tidak mampu untuk menangkap dan memenjarakan ketua SIS ini?

Sangka baiknya mungkin SIS terlampau jahil dengn Islam sehingga berani memaksudkan syariat Islam tidak adil dengan kaum wanita. Adakah SIS tidak tahu syariat Islam ini bukan datang daripada kepala dan pemikiran ulama’ tetapi Pencipta Yang Menciptakan SIS dan sekalian yang wujud di alam ini. Ibarat bos dengan pekerja. Jika pekerja tidak senang hati dengan bosnya boleh cari kerja lain (ayat orang yang dah bekerja) dan bahasa mudahnya jika SIS tidak puas hati dengan peraturan Allah silakan cari alam lain.

Tetapi benarkah dakwaan SIS Islam tidak adil dengan kaum wanita? Sebelum saya berbicara soal fitrah wanita dan lelaki, mari kita renung dan fikir sejenak makhluk Allah yang lain yang juga mempunyai jantan dan betina. Berkata Abu Hayyan Al Tauhidi dalam kitabnya Al Imta’ Wa Al Mua’nasah; laungkan bersamaku kebenaran firman Allah s.w.t:

Maksudnya: “Dan tidak seekor binatang pun yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu.” (Al An’am:38)

Mari kita perhatikan:

  1. Lelaki mempunyai gigi sebanyak 32 batang manakala wanita sebanyak 30 batang dan orang yang dikasi bilangannya sebanyak 30 batang.
  2. Telur yang membujur dan agak meruncing menetaskan ayam betina manakala telur yang membulat dan kurang meruncing menetaskan ayam jantan
  3. Burung betina jika ia tidak mengeramkan telur ia akan sakit
  4. Gagak betiana sentiasa berada di sarangnya sahaja, manakala gagak jantan datang kepadanya membawa makanan
  5. Anjing salji betina lebih panjang umurnya berbanding anjing salji jantan yang hanya mengjangkau sepuluh tahun. Anjing salji betina juga mudah dilatih.
  6. Burung kendi betina mengeluarkan telur sebanyak 15 biji. Manakala burung kendi jantan akan mengambil alih konon-konon untuk mengeram sambil mengguling-gulingkannya dan ini boleh merosakkan telur-telur tersebut dengan harapan burung betina tidak kembali mengeram. Oleh sebab itu, burung kendi betina sentiasa membuat helah untuk melarikan diri dan membuat sarang tersembunyi yang jauh daripada burung jantan. Setelah ia berjauhan ia akan berterbangan dan merancang untuk kembali kepada burung kendi jantan.
  7. Kura-kura betina tidak mahu menghampiri kura-kura jantan melainkan kura-kura jantan membawa ranting kayu di mulutnya barulah ia selesa bersama kura-kura jantan.
  8. Larva ulat sutera dapat mengesan bauan larva betinannya sejauh 12 kilometer.

Inilah hakikat alam yang perlu kita akui. Kajian saintifik oleh banyak saintis telah menemui kebenaran bahawa perbezaan yang ketara antara jantan dan betina, sedangkan Al Quran telah lama mengisyaratkan perbezaan ini. Berkaitan kekuatan jasad lahir lelaki, wanita sendiri telah mengakuinya seperti mana yang dirakam dalam surah Al Qasas ayat 26 mengenai nabi Musa a.s. Maksudnya:

“sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah”.

Perbezaan fungsi badan pula Al Quran telah menceritakan perihal wanita menyusukan anaknya, menjelaskan hukum-hukum haid dan tingkah laku sosial mereka seperti mana dalam surah Al Ahzab ayat 28. Mari kita perhatikan penemuan sains fitrah lelaki dan wanita.

  1. Berat bayi lelaki mengatasi bayi perempuan pada saat kelahiran sebanyak 5% dan berat ini semakin bertambah pada kadar 20% selepas 20 bulan
  2. Pada usia 14 tahun berat anak perempuan mengatasi lelaki. Namun, pada usia 16 tahun lelaki akan kembali mengatasi anak perempuan sehingga mencecah kadar 20% pada usia 20 tahun.
  3. Aspek ketinggian pula, ketika lahir nisbah ketinggian bayi lelaki mengatasi wanita pada kadar 2%, namun kadar ini berbeza pada usia antara 11 tahun hingga 14 tahun di mana wanita mengatasi nisbah tersebut.
  4. Kemudian kadar ketinggian wanita akan terhenti pada usia 17 tahun. Berbeza dengan lelaki yang berterusan sehingga berusia 20 tahun dan mengatasi ketinggian wanita pada kadar 10%.
  5. Aspek kekuatan otot, kekuatan genggaman bayi lelaki mengatasi bayi perempuan pada usia 7 hari pada kadar 10% dan ia terus bertambah ketika berusia 20 hari dengan peningkatan kadar kekuatan sebanyak 55%.
  6. Pada aspek kecergasan, bayi lelaki mengatasi bayi perempuan pada kekuatan pernafasan ataupun dari segi istilah sainsnya “daya hidup”. Daya hidup dikira berdasarkan kemampuan menampung kuantiti udara oleh paru-paru. Kajian membuktikan bayi lelaki menggunakan kuatiti oksigen yang lebih tinggi daripada bayi perempuan dan ini memastikan kelangsungan hidup yang lebih tinggi kerana oksigen merupakan sumber untuk menghasilkan tenaga kepada badan. Ibarat kereta memerlukan petrol ( isilah minyak kenderaan anda).
  7. Nisbah kelebihan daya hidup ini berterusan pada kadar 7% pada usia 6 tahun sehingga mencapai kadar 35% pada usia 20 tahun. Aspek perbezaan jiwa boleh rujuk buku lain antaranya “man from mars, woman from venus”.

Jadi, kepada pejuang SIS telah, adakah adil untuk kita membebani setiap satu dengan tugasan yang sama sedangkan telah nyata perbezaan lelaki dan wanita? Apabila diangkat darjat sebahagian mereka daripada sebahagian yang lain, telah nyata kelakian dan kewanitaan itu tidak sama dan tidak adil untuk menyamaratakan lelaki dan wanita pada setiap sudut kehidupan. Maka bagi mereka peranan yang sesuai dengan kemampuannya sendiri. Keghairahan kita menuntut keadilan, kesamarataan dan pengabaian aspek jantina akan memangkin lagi kepincangan dalam masyarakat dan membuahkan kezaliman yang berterusan kerana adil itu meletakkan sesuatu pada tempatnya.

...kemanusian itu mempunyai dua sayap-lelaki dan wanita-jika salah satu sayap itu patah maka pincang dan tersungkurlah ia...Imam Al Ghazali

Berhubung masalah faraid, saksi, wanita bekerja dan seumpamanya boleh rujuk fatwa semasa Dr. Yusuf al-Qardhawi tentang wanita. Bacaan lengkap boleh rujuk buku Syeikh Abdul Majid Subhi bertajuk “Kedudukan wanita dalam Islam”.

Saturday, July 25, 2009

Rahsia Solat di Awal Waktu

Assalamu alaykum wbt. Salam kemaafan. Dekat 3 bulan da tak update ni. Kebetulan terjumpa artikel yang amat menarik untuk dikongsi rasanya daripada ruangan artikel syok.org. Terima kasih kepada uploader artikel ini. Sebarkan moga-moga kita juga beroleh saham di sana. Peringatan untuk diri sendiri dan mereka yang ingin peringatan.

Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam. Sebagai contoh, pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh. Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi. Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki. Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain jaga daripada tidur. Di sini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat di awal waktu. Bermula saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (isyraq & dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya.

Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu...). Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita.

Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah. Inikerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka beresonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la.) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta dimana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan.

Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.

Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam. Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya. Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh. Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di'kurniakan' syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini. Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t
mewajibkan solat ke atas hambanya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukannya.

Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya.
Semua yg terdapat di alam ini adalah untuk manfaat segala makhluk2 nya. Solatlah sebelum kita disolatkan,,.wALLAHua'lam.

Wednesday, April 22, 2009

Lock and Key



Sunday, April 12, 2009

Titip Exam

Salam kemaafan dariku jika diri ini pernah melukai, kata-kata yang menghiris kalbu, aksi yang kaku untuk menzahirkan kemaafan, umpatan yang sengaja atau tidak disengajakan dan sebarang kelemahan diri ini yang menyusahkan. Jangan simpan dalam hati susah ana nak cuci.Rabbku lebih mengetahui.

Sesungguhnya aku mengasihi dan menyayangi kalian semua kerana Penciptaku...
Final exam makin hampir, ilmu didada belum mencukupi,usaha juga belum memadai untuk menggapai ilmu Ilahi tapi usaha perlu diteruskan untuk memburu redha dan cintaNYA…

Selamat berjuang di medan akademik.

Silibus DG

Kisah perjalanan beribu batu bermula dengan satu hanyunan langkah. Begitulah sinonimnya permulaan untuk belajar dan terus belajar. Sukar sekali untuk memulakan tetapi cukup mudah untuk terlena semasa belajar. Formula perubahan tidak akan berjaya tanpa bantuan dan sokongan semua pihak. Benarlah ayat yang diturunkan oleh Allah :

Dan apakah mereka tidak memperhatikan bagaimana Allah menciptakan (manusia) daripada permulaannya, kemudian mengulanginya (kembali). Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Al Ankabut :19)

Segala pekerjaan amat mudah bagi Allah tetapi tidak bagi kita, makhluknya yang amat lemah lagi memerlukan. Sesungguhnya, Dia adalah Maha Pencipta. Sekali lagi untuk berubah kita perlukan sokongan dan bantuan semua pihak.

Pernahkah kita terfikir apakah kejayaan bagi sesuatu kumpulan bola sepak dan ahli sains? Bolehkah Negara Brazil, Perancis atau Itali merangkul kejuaraan Piala Dunia hanya berbekalkan kekuatan seorang ahli. Begitulah istimewanya Brazil mempunyai gandingan 3-R, Perancis dengan gabungan penyerang berbisa Zinadine Zidane dan Thierry Henry. Hakikatnya mereka juga memerlukan hantaran yang cantik daripada pemain tengah dan pertahanan yang mantap untuk melancarkan serangan.

Begitu juga dalam dunia sains. Satu uji kaji memerlukan bantuan banyak kepakaran yang berbeza.(sains kene ade) Bongkarlah kejayaan penemuan dan penciptaan baru (baca:peniruan daripada hasil ciptaan Allah). Sekurang-kurangnya mereka terdiri daripada bidang kepakaran yang berbeza. Begitu juga hasil kejayaan satu pembedahan jantung sebagai contoh. Hasil jalinan kerjasama pakar bius bagi memastikan pesakit tidak terjaga semasa pembedahan, pakar perubatan untuk mengawal darah dan pakar kardiologi untuk mengawal pergerakan jantung membantu memaksimumkan kejayaan operasi tersebut.

Rasul junjungan juga pernah bersabda mengingatkan kita tentang betapa pentingnya kerjasama mafhumnya:

orang-orang beriman adalah ibarat batu-bata di dinding, menyokong dan meguatkan satu sama lain.” Sambil berkata Nabi Muhammad menggenggam tangannya dan memancakan jarinya-jemarinya. (Al-Bukhari)

Tentu ada sebab mengapa baginda mengunakan perumpaan batu bata. Begitu juga firman Allah dalam surah As Saff ayat ke-empat:

Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.”

Orang-orang Rusia dapat menjelaskan maksud dinding dengan pepatah berikut:

Kamu tidak boleh membina dinding dengan sebiji bata sahaja.

Sungguh menakjubkan! Apa pendapat anda? Di sini boleh saya buat 3 kesimpulan:

  1. tanpa tapak atau bantuan orang bawahan mana mungkin binaan bata-bata tadi akan membentuk dinding
  2. jika tapak tidak kukuh dan kuat, binaan di atas bila-bila masa sahaja boleh tumbang dan rebah walaupun ditiup angin sepoi-sepoi bahasa
  3. tanpa lapisan atas, tapak tadi hanyalah binaan usang yang tiada fungsinya ibarat projek yang terbengkalai

Perspektif saya mungkin salah tetapi apabila kita kembali kepada Al Quran dan Sunnah baginda tiada lagi khilaf.

“Setiap diri kita adalah pelindung dan kita bertanggungjawab terhadap orang di bawah jagaan kita. Pemimpin yang mempunyai kuasa ke atas rakyatnya adalah pelindung dan bertanggungjawab terhadap mereka, seorang lelaki adalah pelindung keluarganya dan bertanggungjawab terhadap mereka; seorang wanita adalah pelindung rumah suaminya dan anak-anaknya dan bertanggungjawab terhadap mereka; orang suruhan adalah pelindung harta majikannya dan bertanggungjawab terhadap harta-harta tersebut; jadi kamu semua adalah pelindung dan bertanggungjawab terhadap orang-orang di bawah jagaan kamu(Al Bukhari dan Muslim)

Bagi mereka yang telah berumah tangga dan ingin mendirikan rumah tangga Islam hayatilah makna hadis ini. Pesanan pengerusi JATA isi borang UBM. Memang cukup jelas. Jika kita inginkan kejayaan dalam sesebuah organisasi, tidak dapat tidak setiap ahli perlu berperanan. Tidak ada ahli yang lebih penting daripada ahli yang lain. Tidak ada biro yang lebih penting daripada biro yang lain. Tidak ada unit yang lebih penting daripada unit yang lain. Setiap ahli kumpulan harus tahu dan menghormati kelebihan orang lain dan sebab mengapa setiap ahli diperlukan. Formula inilah yang melengkapkan binaan dinding sebagaimana ditamsilkan dalam hadis tadi.

Adakah satu bahagian bata lebih kuat daripada sebahagian yang lain? Sudah tentu ada. Jadi, bagaimana untuk menyama ratakan kekuatan antara batu-bata tadi supaya binaan dinding tadi adalah kukuh. Formulanya cukup mudah, setiap ahli perlu berperanan menguatkan ikatan tadi dengan simen yang bermutu tinggi. Bagi memastikan kualiti simen yang sama, kita perlu berkongsi , berkongsi, berkongsi dan melengkapkan. Berkongsi maklumat, pengetahuan, tenaga dan juga berita.

Janganlah kita sombong menguatkan diri sendiri sehingga terlupa kita masih berada pada dinding yang sama, ikatan yang sama. Jika satu roboh akan melemahkan yang lain. Satu frasa yang menarik daripada pepatah Inggeris- There is no “I” in the word team! (tidak ada “saya” dalam perkataan kumpulan). Coretan ini adalah petikan daripada buku “Life is an open secret” silibus DG kawasan 1. Fikir-fikirkan.



xbaek bergaduh...


Segenggam Tabah


Bertali arus dugaan tiba
Menakung sebak airmata
Namun tak pernah pun setitis
Gugur berderai di pipi

Tidak ditempah hidup sengsara
Suratan nasib yang melanda
Menongkah badai bergelora
Diredah bersendirian

Bagaikan camar pulang senja
Patah sayapnya tetap terbang jua
Sekadar secicip rezeki
Buat yang sedang rindu menanti

Segenggam tabah dipertahankan
Buat bekalan di perjalanan
Kau bebat luka yang berdarah
Kau balut hati yang calar

Telah tertulis suratan nasibmu
Derita buatmu ada hikmahnya
Terlukis senyum di bibir lesu
Tak siapa tahu hatimu

Biarpun keruh air di hulu
Mungkinkah jernih di muara
Biarpun jenuh hidup dipalu
Pasti bertemu tenangnya

Album : Tiada Lagi Kasih
Munsyid : In-Team

Wednesday, March 25, 2009

KEMUNDURAN SAINS ISLAM DI ABAD INI: SALAH SIAPA?

"Pemerhati luar", Francis Giles, yang menulis dalam jurnal berprestij, Nature, 24 Mac 1983, terhadap kemunduran sains Islam kebelakangan ini, menimbulkan persoalan “What is wrong with Muslim science?” Inilah jawapannya:

Pada zaman kemuncaknya kira-kira satu ribu tahun dahulu, Negara Islam memberi sumbangan yang besar dalam bidang sains, terutamanya matematik dan perubatan. Baghdad, ketika zaman kegemilangannya dan Sepanyol selatan membina universiti dengan jumlah penuntut yang sangat banyak: pemerintah mendampingi ramai ahli sains dan artis. Prinsip kebebasan yang diamalkan membolehkan orang Islam, Yahudi dan Kristian bekerja bersama-sama. Kini, ini semua hanya kenangan. 

Perbelanjaan untuk sains dan teknologi mungkin meningkat akhir-akhir ini walaupun peningkatan ini terpaksa dihadkan kepada negara yang kaya dengan hasil minyak. Rantau ini diperintah oleh pemerintah diktator yang suka membuat kebajikan atau sebaliknya... merumitklan lagi usaha untuk membolehkan sains bertapak. Tidak hairanlah penghijrahan cendekiawan ke negara perindustrian terus melemahkan daya cendekia di seluruh Timur Tengah.

Ada pendapat mengatakan sains adalah budaya. Tarian gila-gila, goyangan pinggul, gelagat seperti orang gila semuanya diberi tepukan gemuruh. Inilah etika yang amat menyimpang daripada daya cendekia dan keintelektualan. Logiknya, semakin mendalam pengetahuan tentang kehebatan ciptaan Tuhan semakin terpegun dan terhinanya kita di hadapan sebenar-benar Pencipta dan bertambahlah sedar akan kekurangan kita. Bukan sebaliknya semakin bongkak dan angkuh untuk melawan kod etika yang telah ditetapkan Tuhan.

Pentadbir yang menguruskan penyelidikan sains juga mestilah seorang yang telah menjadi penyelidik yang bagus bagi suatu tempoh masa yang tertentu. Masalah yang timbul bagi pentadbir bukan penyelidik, mungkin sukar bagi mereka untuk melihat potensi jangka panjang bagi projek yang agak luar daripada kebiasaan. Contohnya, projek tentang mikrocip atau bioteknologi. Tambahan pula, pelaburan dalam penyelidikan sains memberikan hasil dalam jangka masa yang panjang, yang selalunya tidak nampak dan/atau tidak langsung.

Resipi untuk melahirkan ahli sains yang baik pada dasarnya sama seperti melahirkan ahli falsafah, pujangga atau pemikir unggul. Pada asasnya ia memerlukan suasana politik dan sosial yang sesuai mencakupi aspek kedunian dan hubungan dengan Pencipta serta sokongan daripada institusi dan penghargaan yang sewajarnya bagi usaha dan pencapaian yang baik. Mana mungkin ahli sains yang tidak mengenali Penciptanya ingin melahirkan sesuatu yang bermakna bagi kehidupan selepas mati yang pasti membingungkan benak pemikiran mereka.

Resipi inilah yang diguna pakai dalam Tamadun Islam semasa kegemilangannya. Para khalifah, termasuklah pada zaman pemerintahan bani Abbasiyyah sangat-sangat menaungi sains dan astronomi yang telah mantap sejak awal-awal lagi tanpa menghiraukan suasana politik. Al-Mansur, Harun Ar-Rasyid dan al-Mamun (sekitar 813-833 Masihi) sangat menekankan pembelajaran umum dan kajian astronomi serta subjek-subjek yang berkaitan dengannya. ‘Ibu sains’ ini mempunyai pertalian yang amat rapat dengan Islam. Aspek kosmos banyak kali disebut dalam al-Quran. Antaranya:

Dan lagi dalil yang terang untuk mereka (berfikir) ialah malam; Kami hilangkan siang daripadanya, maka dengan serta-merta mereka berada dalam gelap-gelita;
(Surah Yaa Sin:37)

Dan (sebahagian dari dalil yang tersebut ialah) matahari; ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya(orbit); itu adalah takdir Tuhan Yang Maha Kuasa, lagi Maha mengetahui; (Surah Yaa Sin:38)

Dan bulan pula Kami takdirkan Dia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredarannya kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya - (berbentuk melengkung) seperti tandan yang kering. (Surah Yaa Sin:39)

(dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mungkin baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing. (Surah Yaa Sin:40).

Sesungguhnya, mungkin tidak ada masyarakat agama lain selain masyarakat Islam yang begitu banyak sekali berinteraksi dengan astronomi baik untuk tujuan awam mahu pun keagamaan. Tidak hairanlah bidang astronomi mendapat perhatian ahli sains dan negara Islam semasa zaman kegemilangannya. Kemajuan astronomi pada masa tersebut mencambahkan lagi bidang-bidang berkaitan seperti matematik, geometri, fizik, optik, astrolab, sosiologi dan banyak lagi. Tidak hairanlah khalifah al-Mamun seorang ahli astronomi membayar upah yang mahal kepada penyelidik dan penterjemah beliau. Beliau juga merupakan pengasas kepada Baitul Hikmah (Akademi Kebijaksanaan).

Al-Khawarizmi yang terkenal dengan algebra dan ahli astronomi matematik,al-Battani yang menulis buku Handbook of astronomy yang sekian lama diguna oleh Barat juga hidup dalam zaman ini. Era ini juga melahirkan Ibnu al Haytham, seorang ahli fizik teragung sepanjang zaman yang dianggap bapa optik moden. Beliaulah yang menulis buku besar Optics yang dikatakan menjadi rujukan Newton(‘sekiranya saya dapat melihat lebih jauh, itu adalah kerana saya berdiri di atas bahu gergasi’) untuk membina teorinya. Namun Ibn al Haytham mengakhiri buku Opticsnya dengan penuh rendah hati dengan berkata:

“Walaupun semua yang saya tahu tentang ilmu ini ada dalam buku saya, ilmu saya terbatas dan mungkin terdapat kesilapan dalam penyelidikan saya. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.”

Ibnu Rushd juga mengakhiri bukunya, Incoherence of the Incoherence, dalam bab terakhir yang berkisar tentang sains alam dengan memohon maaf kerana mengambil masa pembaca dan memohon ampun daripada pembaca dan Tuhan atas kesilapan, alasan dan ketidaklancaran beliau.

Rasa rendah diri merupakan norma dan rukun asas sains Islam. Ahli sains islam amat perlu memahami batas kaedah saintifik, contohnya al- Biruni yang menghasilkan kira-kira 180 karya dalam pelbagai bidang seperti geometri, geografi, cahaya, astrolab, waktu dan musim, komet, agama, astrologi dan sosiologi, berkali-kali mengingatkan pembaca tentang batas kaedah (saintifik)nya. Sebenarnya apa yang dimaksudkan al-Biruni adalah kaedah yang sesuai dengan alam semula jadi berhubung dengan subjek yang dikaji. Inilah aspek sains Islam yang amat menghormati subjek yang dikajinya. Ahli sains Islam berusaha memahami bukan menguasai objek kajian mereka. Seperti mana dalam kajian optik oleh Ibn al Haytham dan manusia dalam kajian negara India oleh al Biruni yang amat menghormati subjek kajian mereka.


Kembali kepada zaman Bani Abbasiyyah, Baghdad muncul sebagai bandar raya saintifik Islam yang paling terkenal dan sukar ditandingi. Setelah berkembang pesat selam 500 tahun “Penjarahan Baghdad” berlaku pada pertengahan abad ke-13 ( 1258 Masihi) oleh Hulagu Khan. Banyak kitab-kitab ilmu yang berharga dibakar dan dimusnah oleh penakluk Baghdad. Satu bencana besar telah melanda dunia sains yang bukan sahaja kepada orang Islam tetapi dunia keseluruhannya. Cubaan untuk menghidupkan kembali sains telah berlangsung di beberapa pengkalan ilmu (Maraghah abad ke-13; Samarqand abad ke-15; Istanbul abad ke-16). Satu perkara yang menarik, orang Tartar yang telah menghancurkan Baghdad dan sains Islam cuba untuk menghidupkan sains Islam kembali di balai cerap Maraghah dengan bantuan Al Tusi.

Walau bagaimanapun, bagi umat Islam, usaha ini masih gagal mengembalikan sains Islam kepada keadaan asalnya. Revolusi sains dan teknologi hari ini dilihat lebih bergantung kepada perspektif Barat. Pastinya jiwa remaja Islam yang ragu-ragu dengan Islam, kerap kali menentang budaya dan tradisi Islam. Kejahilan ini amat-amat menuntut penjelasan yang rapi daripada ilmuan Islam dan mewujudkan kembali kredibiliti tradisi sains Islam yang amat disanjungi pada zaman silam.

Satu perkara yang menarik mutahkir ini, keinginan yang kuat yang daripada pelajar terbaik SPM tahun ini yang ingin meneruskan pengajian beliau dalam bidang fizik yang terkeluar daripada adat kebiasaan pelajar cemerlang sekarang yang lebih cenderung kepada bidang perubatan. Mungkinkah ini turning point kepada kebangkitan sains Islam di abad ini? Allahu a’lam.

Total Pageviews

free counters
Powered By Blogger