Thursday, April 22, 2010

Perutusan Mursyidul Am

Bahaya pemikiran Umno: tolak Umno, terimalah kebenaran Islam

Assalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh, dan Salam Sejahtera.
Firman Allah SWT (al-An’am 6:162),



Maksudnya, “Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

Sesungguhnya, segala puji-pujian yang tidak terhingga kepada Allah Tuhan yang mencipta dan mentadbir sekalian alam. Puji-pujian juga yang teramat tinggi kepada Nabi Muhammad Pesuruh Allah, Nabi pengakhir zaman.
Didoakan kepada semua pengundi bagi pilihan raya kecil P.094 Hulu Selangor berada di dalam keselamatan dan kesejahteraan hendak-Nya.

Tuan-puan, dan saudara-saudari yang dihormati sekalian.
Bersempena dengan musim kempen pilihan raya ini, sukacita saya mengingatkan diri saya dan menyampaikan ingatan sama kepada sidang pengundi sekalian yang bakal mengundi pada hari Ahad, 25 April 2010 nanti.
Jadilah ingatan ini sebagai panduan utama untuk sidang pengundi sekalian menjadi seorang yang berhak mengundi, menunaikan tanggungjawab mengundi dan memangkah kertas undi dengan pasangkan niat , “sesungguhnya aku mengundi untuk menegakkan kebenaran dan keadilan serta kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.”
Tuan-puan, dan saudara-saudari sidang pengundi sekalian.
Perkara pertama kita kena tahu, betapa Umno telah menghancurkan simbol Bulan Bintang yang dipakai oleh PAS pada tahun 1971. Sedangkan pada PAS, Bulan Bintang itu mempunyai makna yang besar dari segi mendidik rakyat kepada cara hidup beragama. Pertama, Bulan Bintang itu dipakai di atas menara masjid-masjid –– rumah Allah Tuhan yang Maha Kuasa. Kedua, Bulan Bintang adalah simbol bagi PAS untuk menghidup dan menghayati serta melaksanakan falsafah hidup beragama (muslim sejati) berteraskan doa iftitah yang selalu dibaca ketika permulaan sembahyang. Doa yang dimaksudkan ialah “sesungguhnya sembahyang ku, ibadat ku, hidup ku dan mati ku adalah kerana Alllah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam (Lillahi Rabbi ‘alami).” Oleh sebab itu, melalui simbol Bulan Bintang apabila dilihatnya, maknanya seseorang diajak untuk mengingati tanggungjawab beragama –– sembahyang dan beribadat, serta memikirkan soal hidup dan mati. Dengan cara itu, harapan PAS supaya rakyat sentiasa berada di dalam kehidupan beragama, berkeamanan dan berharmoni.

Akibat daripada larangan penggunaan simbol Bulan Bintang itulah dapat dilihat hari ini, bila mana rakyat hari ini begitu bercelaru amalan hidupnya –– terbabit dengan segala amalan maksiat dan kerosakan akhlak serta berlaku amalan hidup yang berlawanan dengan apa yang ucapkan di dalam solat. Di samping berlaku tingkah laku yang di luar daripada sifat kemanusiaan seperti membuang bayi dan pembunuhan sesama insan.

Perkara kedua yang perlu diingati ialah tindakan pemimpin Umno yang telah menghapuskan penggunaan tulisan jawi. Tulisan jawi juga dihapuskan dalam pendidikan di sekolah. Ia berlaku zaman Almarhum Khir Johari, menghapuskan pengajaran dan penggunaan tulisan jawi itu.

Kesannya ramai orang Melayu, khususnya generasi sekarang tidak pandai membaca dan menulis jawi. Sedangkan jawi adalah tulisan dan bahasa al-Quran, dan ia adalah warisan ilmu orang Melayu zaman berzaman. Maka, ia bukan sekadar menghapuskan budaya ilmu yang menjadi medium pendidikan utama orang Melayu, malah orang Melayu kini amat dangkal dengan pengetahuan al-Quran kerana mereka sudah tidak pandai membaca al-Quran. Inilah bahananya dasar Umno.

Rakyat kena persoalkan, kemana Umno nak bawa rakyat. Nak kata Umno nak bawa ke jalan agama, jelas Umno sudah buat banyak perkara yang bercanggah dengan kehendak Islam seperti melarang guna Bulan Bintang dan tulisan jawi.
Tuan-puan, dan saudara-saudari sidang pengundi sekalian.

Pekara ketiga, layak juga dipersoalkan kepada pemimpin Umno, apakah tujuan sebenar Umno lawan sangat PAS ini? Sedangkan PAS sudah diakui sebagai parti yang berjuang untuk Islam, demi untuk melaksanakan pentadbiran dan mengamalkan sistem masyarakat Islam di Negara ini. Boleh jadi, Umno lawan PAS atas dasar demokrasi.

Jika begitu, kaedah demokrasi sebenarnya mengajar kita supaya berlaku adil kepada semua pihak. Apabila bertanding dalam pilihan raya, hendaklah mengamalkan pilihan raya yang adil dan bersih, tiada ugut-mengugut dan sogok-menyogok. Jika PAS menang, kena terima itu mandat rakyat dan perlu dihormati. Persoalannya, apa pasal pula Umno begitu gah kononnya berjuang ikut demokrasi, tetapi prinsip demokrasi tidak sedikit pun dipatuhi?

Tengok saja atas isu wang royalti petroleum. Sekian lama negeri Terengganu di bawah kuasa BN, royalti minyak dibayar kepada kerajaan negeri . Tetapi bila saja PAS menang di Terengganu tahun 1999, setahun selepas itu royalti sudah ditarik dan ditukar pula kepada wang ihsan. Itupun sudah tidak diberi kepada kerajaan negeri. Ia disalur terus kepada Umno bahagian. Semuanya adalah bukti Umno sendiri tidak hormat, malah melakukan perkara yang bercanggah dengan prinsip demokrasi.

Benarlah Umno yang mendakwa berpegang dengan prinsip demokrasi, hakikatnya Umno tidak mematuhi prinsip demokrasi.

Cuba kita renungkan sedikit, bagaimana Islam pula mengajar umatnya berjuang. Sesungguhnya Islam adalah lebih bertamadun berbanding demokrasi, kerana demokrasi tidak mengajar soal dunia dan akhirat. Namun, Islam dikatakan lebih bertamadun kerana mengajar kita dengan prinsip bahawa ‘apa saja yang kita perjuangkan, semuanya akan disoal oleh Allah SWT di akhirat.’ Prinsip seumpama ini adalah selari dengan prinsip ‘sembahyang ku, ibadat ku, hidup ku dan mati ku, semuanya kerana Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam.’ Barang ini (prinsip ini) tidak ada dalam perjuangan Umno.

Sebab itulah kita berani katakan bahawa perjuangan Umno adalah perjuangan sekular. Lebih-lebih lagi, Umno dilihat lebih mengutamakan pembangunan berteraskan kebendaan semata-mata. Maka, tidak ada bezanya perjuangan Umno itu dengan perjuangan parti politik di Barat yang mementingkan pembangunan dan kemajuan semata-mata. Sebab itulah, perjuangan Umno mengasingkan prinsip agama dengan politik. Maka jadilah Umno sebagai parti sekular, iaitu sebuah parti yang mengamalkan politik suku, agama suku. Ia memberi makna, semacam kerja politik tiada kaitan dengan dosa dan pahala lagi. Sebab itulah ada pemimpin Umno berani melakukan segala amalan politik yang bercanggah dengan ajaran agama. Mereka mengamalkan politik wang, politik ugut dan politik paksa. Sedangkan kesemuanya itu bercanggah dengan ajaran Islam dan dilarang keras oleh Nabi Muhammad SAW.

Tuan-puan, dan saudara-saudari sidang pengundi yang dikasihi sekalian.
(Akhirnya), perkara keempat mengenai perjuangan Umno ialah amalan salah Umno yang sentiasa mengasing-asingkan rakyat dengan membeza-bezakan rakyat mengikut kaum-kaum. Akibat amalan salah Umno itu, akhirnya orang Melayu dibeza-bezakan dengan bukan Melayu. Dan paling salah membeza-bezakan antara Melayu yang sokong Umno sebagai Melayu-Umno dan yang sokong PAS sebagai Melayu-PAS.

Kemudian berlaku pula pengasingan antara hak Melayu dengan hak bukan-Melayu, diikuti pula hak Melayu-Umno dengan hak Melayu-PAS. Paling teruk juga, orang Melayu-PAS telah dibeza-bezakan dari segi jawatan dan kenaikan pangkat, subsidi dan bantuan, dan hak-hak antara negeri diperintah Umno-BN dengan negeri diperintah PAS-Pakatan Rakyat. Seperti juga berlaku pada akhir-akhir ini, bila mana persoalan wang royalti petroleum untuk Kelantan sendiri tidak diberikan kepada kerajaan negeri, sedangkan kepada kerajan negeri Sabah dan Sarawak terus diberi. Apa yang berlaku, ‘royalti’ ditukar kepada ‘ihsan’ dan pemberian ihsan pula adalah kepada Umno bahagian.
Demikianlah, buruknya amalan membeza-bezakan itu. Ia telah mendera rakyat Kelantan, kerana kerajaan negeri Kelantan hari ini adalah dipilih atas hak dan kehendak rakyat. Amalan Umno sebegitu telah menepikan langsung nilai keadilan yang diajar oleh Islam. Sekaligus bertentangan dengan ajaran Tauhid Islam. Mengikut ajaran Tauhid, bukan hanya Tuhan itu Satu, tetapi satu segala-galanya. Hatta manusia yang berbagai-bagai bangsa itupun adalah disatukan di bawah satu keturunan iaitu keturunan Nabi Adam AS.

Oleh itu, kembalilah kita kepada ajaran Islam dan mengamalkan cara hidup beragama. Sesungguhnya sistem Islam adalah benar dan adil untuk semua kaum. Ingatlah, firman Allah (surah Ali-Imran 3:102-103),



Bermaksud, “wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai .”

Sebenarnya Allah SWT tidak menerima segala amalan kita, melainkan kita beramal dengan ajaran Islam yang syumul. Menolak perjuangan Umno sudah pasti membebaskan diri kita daripada segala-gala amalan salah.

Sehubungan itu, saya menyeru dan merayu kepada sekalian pengundi Hulu Selangor yang budiman lagi bijaksana, undilah calon Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim dari parti KeADILan. Saya penuh yakin dan percaya di atas pengalamannya selaku bekas ahli parlimen dan menteri kabinet, sesungguhnya beliau mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab untuk membela dan menunaikan harapan rakyat di parlimen Hulu Selangor. Keluarlah mengundi beramai-ramai, jangan hiraukan ugutan Umno-BN dan selamat mengundi.

Semuga tuan-puan, dan saudara-saudari sekalian dirahmati Allah Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Harapan Baru Malaysia
*** PAS UNTUK SEMUA ***

Sekian.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat,
Mursyidul Am PAS

Wednesday, April 21, 2010

Memilih Bahagia!

Dalam kemeriahan menyambut ulang tahun ujian akhir semester, ada beberapa perkara yang agak menganggu fokus. Tidak tahu kenapa sejak akhir-akhir ini perasaan gelisah, resah dan mudah terasa kembali mencuit jiwa. Sukar ditafsir.

Kebingitan bilik macam biasa kadang-kadang menumpulkan fokus pada akademik ditambah pula selera pada akademik agak merudum. Ingatan kembali pada zaman persekolahan, kalau belajar waktu malam hanya suara ombak yang menemani, jauh sekali daripada muzik. Terasa baru semalam menerjah dunia realiti di bumi sabah. Perasaan makin terganggu.

Suasana itu agak mustahil untuk digapai. Walaupun makbil selalu benar mengajak ke pantai. Entah apa yang dicari, mungkin kebesaran Ilahi. Subhanallah.

Mungkin kita boleh mencapai bahagia dan keseronakan seperti itu dengan dua jalan sama ada susah atau senang. Hidup ini sentiasa memaksa kita membuat pilihan. Perlu pilih kerana syurga dan neraka dicipta untuk dipilih. Bergantung kepada pemahaman kita tentang hidup. Apakah kehidupan yang kita mahu, bagaimana hidup kita diisi dan cara ia berakhir. Rasanya persoalan mengapa kita hidup seharusnya dijawab awal-awal lagi kerana mana mungkin orang yang tidak tahu tujuan hidup boleh mencatur kehidupan. Mustahil.

Kebiasaan kita kadang-kadang suka memilih yang sukar walhal yang mudah di depan mata. Ibarat menjawab soalan exam. Nasihat evergreen oleh guru mahu pun pensyarah.

"jawab soalan yang mudah dahulu, jimat masa."

Lantaran tidak dapat mengubah suasana bilik, alternatif saya adalah beruzlah membawa diri menerobos sempadan diri. Ciptalah suasana atau pun beradaptasilah dengan suasana. Agak sukar.

Pilihlah dengan mata hati dan akal yang waras. Jangan diduga lautan dalam jika kail hanya sejengkal. Bahagia itu boleh dicapai dengan mudah melalui perubahan diri bukannya terus menerkam untuk merubah segalanya demi mencipta sebuah bahagia.

"Jiwa aku tak kan bahagia selagi masalah keluarga tak selesai", rungut seorang sahabat. Sayu tapi sukar untuk diluahkan empati.

Sungguh beruntung orang yang diuji sebagai tanda sayang dari Ilahi.Tidak dapat tidak, loronglah perubahan untuk selamatkan diri untuk bahagia dan membahagiakan orang lain.

Ya Allah, engkau mengetahui hati ini sangat rindu kepadaMu tetapi kerinduan itu semakin pudar Ya Allah lantaran dosa-dosa. Ampunilah kami ya Allah, Ya Rahman Ya Rahim. Ya Allah, tetapkan hati kami dalam agamaMu dan ketaatan kepadaMu.

p/s: prk hulu selangor menawarkan pilihan. Pilihlah calon yang membawa bahagia. Yang PASti bukan BN.

Saturday, April 17, 2010

Sekadar Perkongsian Buat Jiwa

5 Syarat Bermaksiat

Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata, “Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat.”

Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata, “Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka bolehlah kamu melakukan maksiat.”


Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya, “Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?”

Ibrahim bin Adham berkata, “Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezekinya.”

Mendengar itu dia mengenyitkan kening seraya berkata, “Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah?”

“Ya!” tegas Ibrahim bin Adham. “Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar laranganNya?”

“Yang kedua,” kata Ibrahim, “Kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumiNya!”

Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati. Ibrahim kembali berkata kepadanya, “Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezekiNya dan tinggal di bumiNya, sedangkan kamu melanggar segala laranganNya?”

“Ya! Anda benar.” kata lelaki itu.

Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim menjawab, “Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat olehNya!”

Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata, “Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?”

“Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu masih berkeinginan melakukan maksiat?” kata Ibrahim.

Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat. Ibrahim melanjutkan, “Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya; Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh.”

Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar, “Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku?”

“Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?”

“Baiklah, apa syarat yang kelima?”

Ibrahim pun menjawab, “Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya.”

Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata, “Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya.”

Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran. “Mulai saat ini aku bertaubat kepada Allah.” katanya sambil terisak-isak.

Allahu a’lam bisshawab.

Thursday, April 8, 2010

Doa buat IBU & AYAH...

Ya Allah,
Rendahkanlah suaraku bagi mereka
Perindahlah ucapanku di depan mereka
Lunakkanlah watakku terhadap mereka dan
Lembutkan hatiku untuk mereka

Ya Allah,
Berilah mereka balasan yang sebaik-baiknya, atas didikan mereka padaku dan
Pahala yang besar atas kesayangan yang mereka limpahkan padaku, peliharalah
mereka sebagaimana mereka memeliharaku.

Ya Allah,
Apa saja gangguan yang telah mereka rasakan atau kesusahan yang mereka
deritakan kerana aku, atau hilangnya sesuatu hak mereka kerana perbuatanku,
jadikanlah itu semua penyebab musnahna dosa-dosa mereka dan bertambahnya
pahala kebaikan mereka dengan perkenan-Mu ya Allah, sebab hanya Engkaulah
yang berhak membalas kejahatan dengan kebaikan berlipat ganda.

Ya Allah,
Bila magfirah-Mu telah mencapai mereka sebelumku, Izinkanlah mereka memberi
syafa'at untukku.
Tetapi jika sebaliknya, maka izinkanlah aku memberi syafa'at untuk mereka,
sehingga kami semua berkumpul bersama dengan santunan-Mu di tempat kediaman
yang dinaungi kemulian-Mu,ampunan-Mu serta rahmat-Mu.

Sesungguhnya Engkaulah yang memiliki Kurnia Maha Agung, serta anugerah yang
tak berakhir dan Engkaulah yang Maha Pengasih di antara semua pengasih.


...Marilah kita kenang dosa kepada orang tua kita. Siapa tahu hidup kita
dirundung nestapa kerana kedurhakaan kita. Kerana kita menghisap darahnya,
tenaganya, airmatanya, keringatnya.

...Istighfarlah, Istighfarlah...
Barangsiapa yang matanya pernah sinis melihat orang tuanya.
Atau kata-katanya sering mengguris hati-hati meraka,
atau yang jarang memperdulikan dan mendoakannya.
Percayalah bahawa anak yang derhaka siksanya didahulukan di dunia ini.
Wallahua'alam..

Total Pageviews

free counters
Powered By Blogger