Wednesday, November 19, 2008

LUPA PADA FITRAH BUKAN MELAYU MUDAH LUPA

Islam itu adalah adalah penyerahan diri dan tunduk kepada segala perintah yang Maha Kuasa dan meninggalkan segala larangannya. Setiap yang wujud di alam ini adalah Islam secara fitrahnya. Islam adalah fitrah setiap kejadian. Hatta, orang yang ingkar (kafir) kepada Tuhannya adalah Islam. Bumi ini berputar mengikut arahan Pemiliknya, siang dan malam juga bertukar mengikut fitrah kejadiannya. Jadi bagaimana kita yang dikurniakan aqal dan petunjuk wahyu boleh tersasar dari fitrah kejadian. Pelik dan ajaib.

DNA yang menyimpan segala maklumat kejadian seorang insan juga bekerja mengikut fitrah. Tidak mungkin pembahagian sel dalam badan kita berlaku tanpa arahan dan panduan daripada DNA bahananya kanser menanti. Perlu diketahui DNA juga bertindak mengikut arahan Penciptanya berdasarkan sebab dan akibat yang membolehkan sesuatu pembahagian sel tadi berlaku. Inilah Islam yang memacu setiap kejadian sains. Dalam sains tiada yang kebetulan melainkan semuanya bertindak mengikut fitrah dan saintis perlu mencari formula di sebalik fitrah yang dicipta oleh Pencipta. Fitrah satu molekul hidrogen bergabung dengan dua molekul oksigen akan membentuk air. Sifat api adalah membakar.

Wajib diketahui tidak semua yang yang panas membakar itu akan bersifat membakar selamanya. Api yang panas itu tidak bisa membakar nabi Allah Ibrahim alaihissalam. Api adalah muslim yang mengikut perintah Tuhannya walaupun bercanggah dengan sains tabi’e. Sudah tentu logik sains gila memikirkannya. Di sinilah kehebatan dan kekuasaan Allah yang dipertontonkan kepada kita bahawa segala yang wujud bertindak mengikut arahan Penciptanya dan ternyata makhluk ciptaanNYA amat lemah. Perjalanan logik tidak mampu menjawabnya melainkan penyerahan diri dan keyakinan yang benar-benar mantap dan kukuh kepada yang Maha Agung, Pemilik Kerajaan Langit dan Bumi. Inilah Islam.

Sains adalah Islam dan Islam bukanlah semata-mata sains tetapi mencakupi segala aspek kehidupan ini. Pencarian itu boleh dikaji daripada pelbagai sudut kehidupan sama ada sains, metafizik, sejarah, perundangan, politik, ekonomi, budaya dan hatta seni sekalipun. Hanya Islam yang mempunyai formula untuk kebahagian kita di dunia dan akhirat. Yakin dan percaya.
Teringat kepada kata-kata Sayyid Jamal al-Din al-Afghani yang dipetik daripada blog Ustaz Hasrizal yang menjawab permintaan ‘khalifah terakhir umat Islam’, Sultan Othmaniyyah iaitu Sultan Abdul Hamid II (1876 - 1909) agar sebuah rombongan deligasi dibentuk dari kalangan ilmuan Madrasah Istanbul untuk dihantar ke Jepun.

“Tuanku, ilmuan-ilmuan yang dicadangkan itu telah menjauhkan Muslim dari Islam, bagaimanakah mereka boleh dipertanggungjawabkan untuk mengajak masyarakat Jepun kepada agama kita? Saya berpendapat, adalah penting untuk kita mengkaderkan golongan bijak pandai, memberikan mereka pendidikan khas untuk melayakkan diri mereka memikul tugas ini mengikut keadaan semasa”, tegas Sayyid Jamal al-Din al-Afghani.

Sebesar-besar pemahaman kita adalah meletakkan Islam berada di puncak pemerintahan bukan yang diperintah. Prinsip waq’iyyah Islam menentukan halatuju perjalanan dakwah kita dan sudah tentulah berdasarkan fiqhul waqi’ iaitu memahami keadaan, situasi atau kondisi semasa dalam kelompok atau persekitaran disekitarnya, samada masyarakat mahupun individu.

Bukankah kita selalu mendengar KalamNya dari surah Al Baqarah ayat 30 yang bermaksud: Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."

Bukan calang-calang penciptaan kita ini selaku wakil Allah (khalifah) di muka bumi untuk menjalankan dasar dan perlembagaan Allah. Kita hanyalah badan eksekutif di bumi ini yang hanya bertindak mengikut kertas kerja yang dirangka tadi. Inilah fitrah kejadian manusia. Kembali kepada asas sebagai seorang hamba yang Islam yang mengikut fitrah penciptaannya iaitu yang tunduk dan patuh kepada pemilik sekalian alam. Islam itu sangat hebat, maka kuatkan dan perkasakanlah diri dengan Islam juga. Inilah formula yang perlu kita hadam. PERKASAKAN DIRI MARTABATKAN ISLAM.

1 comment:

Muslimin Agung said...

Optimumkan Platform,Kuasai Suasana

Post a Comment


Total Pageviews

free counters
Powered By Blogger