Wednesday, February 16, 2011

Keagungan & Kemuliaan Seorang Insan Bernama Muhammad

Salam dan selawat ke atas junjungan mulia nabi kita Muhammad saw. Perutusan baginda ternyata rahmat untuk sekalian alam sebesar-besar contoh dan teladan untuk umat manusia. Baginda adalah sebaik -baik contoh pimpinan agung, sahabat, suami malah suri ummah dalam segenap bidang kehidupan. Mari kita rehatkan  minda dengan sirah baginda yang saya petik daripada blog http://panduanislam.com/blog/category/ceritera-istimewa/. Moga bermanafaat.

Kalau ada pakaian yang koyak, Rasulullah menampalnya sendiri tanpa perlu menyuruh isterinya. Baginda juga memerah susu kambing untuk keperluan keluarga mahupun untuk dijual.

Setiap kali pulang ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang sudah siap di masak untuk dimakan, sambil tersenyum baginda menyingsing lengan bajunya untuk membantu isterinya di dapur.

Sayidatina ‘Aisyah menceritakan: ”Kalau Nabi berada di rumah, baginda selalu membantu urusan rumahtangga.

Jika mendengar azan, beliau cepat-cepat berangkat ke masjid, dan cepat-cepat pulang kembali sesudah selesai sembahyang.”
Pernah baginda pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda amat lapar waktu itu. Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan. Yang mentah pun tidak ada kerana Sayidatina ‘Aisyah belum ke pasar. Maka Nabi bertanya,
 
“Belum ada sarapan ya Humaira?” (Humaira adalah panggilan mesra untuk Sayidatina ‘Aisyah yang bererti ‘Putih yang kemerah-merahan’)

Aisyah menjawab dengan agak serba salah, “Belum ada apa-apa wahai Rasulullah.” Rasulullah lantas berkata,
”Kalau begitu aku puasa saja hari ini.” tanpa sedikit tergambar rasa kesal di wajahnya.

Pernah baginda bersabda, “sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik dan lemah lembut terhadap isterinya.”

Prihatin, sabar dan tawadhuknya baginda sebagai kepala keluarga.

Pada suatu ketika baginda menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat, pergerakan baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar sekali. Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi pada tubuh baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain. Sayidina Umar yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu langsung bertanya setelah selesai bersembahyang :
 
“Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah dirimu menanggung penderitaan yang amat berat, engkau sakitkah ya Rasulullah?”
 
“Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar”
 
“Ya Rasulullah… mengapa setiap kali dirimu menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi bergesekan di tubuhmu?
 
Kami yakin engkau sedang sakit…” desak Umar penuh cemas.

Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu kerikil, buat menahan rasa lapar. Batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali bergeraknya tubuh baginda.

“Ya Rasulullah! Adakah bila engkau menyatakan lapar dan tidak punya makanan, kami tidak akan mendapatkannya buatmu?”

Lalu baginda menjawab dengan lembut, ”Tidak para sahabatku. Aku tahu, engkau akan berkorban apa sahaja demi Rasulmu. Tetapi apakah yang akan aku jawab di hadapan ALLAH nanti, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada umatnya?” “Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat kelak.”
 
Baginda pernah tanpa rasa apa-apa sedikitpun makan di sebelah seorang tua Arab Badwi yang penuh kudis, miskin dan kotor.

Dan dengan penuh rasa kehambaan baginda membasuh tempat yang dikencingi si tua Arab Badwi di dalam masjid sebelum menegur dengan lembut perbuatan itu.

Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH SWT dan rasa kehambaan dalam diri Rasulullah SAW menolak sama sekali rasa ketuanan.

Anugerah kemuliaan dari ALLAH tidak dijadikan sebab untuk merasa lebih dari yang lain, ketika di hadapan umum mahupun dalam keseorangan.

Ketika pintu Syurga telah terbuka seluas-luasnya untuk baginda, baginda masih berdiri di waktu-waktu sepi malam hari, terus-menerus beribadah, hingga pernah baginda terjatuh, lantaran kakinya sudah bengkak-bengkak. Bila ditanya oleh Sayidatina ‘Aisyah, “Ya Rasulullah, bukankah engkau telah dijamin Syurga? Mengapa engkau masih bersusah payah begini?”

Jawab baginda dengan lunak, “Ya ‘Aisyah, bukankah aku ini hanyalah seorang hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur.” 
 
Oleh itu kepada pembaca dan pelawat semua, marilah kita mengenang akan insan yang agung lagi mulia ini dengan berselawat ke atasnya untuk memperolah syafaat darinya. Bukan hanya pada Hari Kelahirannya sahaja, tetapi pada setiap hari. Wallahulam…
 
 

No comments:

Post a Comment


Total Pageviews

free counters
Powered By Blogger