Dunia Arab bergolak. Dari Tunisia ke Mesir dan biarlah ia menjalar ke seluruh pelusuk daerah yang dikuasai oleh rejim yang zalim; yang menghina agama, menghisap darah rakyat, memundurkan negara, memerintah untuk kepentingan kroni dan keluarga, mengaut kekayaan peribadi sedangkan rakyat dalam kemiskinan. Memang sepatutnya telah lama ia bergolak.
Mesir ada gas. Mubarak salurkannya kepada negara haram Israel. Israel membeli gas Mesir lebih murah dari rakyat Mesir sendiri. Sungai Nil yang subur tidak diusahakan secara bersungguh oleh Kerajaan Mesir, bahkan mereka masih mengimport makanan dari luar. Rakyat Mesir ramai yang hidup dalam kemiskinan. Dilaporkan lebih 42 peratus dari 81 juta lebih rakyat Mesir berada di bawah paras kemiskinan. Jutaan rakyat hidup tanpa rumah dan makan. Peranan Mubarak hanyalah menjaga kepentingan diri, kroni, Israel dan Amerika!
Malang sekali, ulama-ulama ‘pro rejim’ seperti Mufti Mesir yang hari ini sibuk menasihati rakyat agar jangan berdemonstrasi dan mengalu-alukan langkah Hosni Mubarak untuk proses pembaharuan, tidak pula selama ini membantah kerakusan kuasa yang berlaku. Pada hari pemerintah mengaut dan menghisap darah rakyat, mereka sibuk membahaskan isu-isu ketaatan rakyat kepada pemimpin dan tidak pula bertegas tentang kewajipan pemimpin menunaikan hak rakyat. Jika Hosni gagal membuat perubahan dalam masa 30 tahun memerintah, apakah mungkin dia boleh melakukannya dalam masa 7 bulan yang dijanjikan?! Jika mampu pun, bererti dia selama ini khianat kerana tidak melakukan pembaharuan itu dalam masa 30 tahun tiba-tiba hari ini dia menyatakan ia boleh dilakukan dalam masa 7 bulan!.
Hari ini golongan agamawan khususnya dari aliran ‘salafi’ sibuk membahaskan tentang demokrasi dan demonstrasi bukan dari ajaran Islam. Bagi saya itu adalah persoalan persepsi bagaimana kita memahami demokrasi dan dalam konteks apa demokrasi itu dilihat. Kita patut bertanya mereka apakah pemerintahan otokrasi atau kukuh besi itu dari ajaran Islam? Apakah membiarkan pemerintah menghisap darah rakyat tanpa membantah itu dibenarkan oleh Islam?
Persoalan falsafah dan konteks demokrasi dan demonstrasi memang patut dibincang dan dihalusi di sudut fekahnya. Namun adalah tidak adil apabila rakyat bercakap soal demokrasi dan demonstrasi lalu fatwa haram atau bid’ah dikeluarkan, sedangkan ketika pemerintah mengamalkan kuku besi, kezaliman, rasuah dan merompak hasil negara, golongan agama ini muncul dalam media untuk hanya mengingatkan rakyat tentang syurga dan neraka, tetapi tidak pula membaca nas-nas agama yang mengingati pemerintah bahawa kezaliman mereka adalah dosa yang amat besar dan neraka yang bakal menanti. Apakah agama hanya candu untuk rakyat bawahan supaya dapat melupakan kerakusan orang atasan?! Nabi s.a.w bersabda:
“Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolongan kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga)” (Riwayat Ahmad, al-Nasai dan Ibn Abi ‘Asim. Dinilai oleh al-Albani. (lihat: Ibn Abi ‘Asim, al-Sunnah, tahqiq: Al-Albani, hlm 337-339).
Ya, tiada siapa yang bersetuju dengan demonstrasi ganas. Rakyat diharapkan keluar ke jalan dengan aman sebagai tanda bantahan atas kezaliman rejim-rejim mereka. Ia salah satu dari menzahirkan bantahan terhadap kemungkaran. Dalam hadis seorang lelaki datang mengadu kepada kepada Rasulullah s.a.w, katanya:
“Sesungguhnya jiranku menyakitiku”. Sabda Nabi s.a.w: “Keluarkan baranganmu dan letakkannya di jalan”. Maka lelaki itu mengambil barangannya dan letak di jalan. Lalu, setiap orang yang melintas bertanya: “apa yang berlaku kepadamu?”. Dia menjawab: “Jiranku menyakitiku”. Maka mereka berkata: “Ya Allah laknatilah dia, Ya Allah hinalah dia”. Dengan sebab itu, jirannya berkata: “Kembalilah ke rumahmu, aku tidak akan sakitimu lagi”. (Riwayat al-Bazzar dan al-Hakim dalam al-Mustadrak. Ahmad Syakir menilainya sebagai sahih).
Demikian, Nabi mengajar bahawa kadang-kala cara menyelesaikan kezaliman dengan mendapat sokongan ramai di jalan. Bantahan orang ramai boleh menakutkan orang yang zalim. Jika sekadar kezaliman jiran kita boleh bertindak sedemikian, apatahlagi kezaliman rejim yang jauh lebih besar dan sukar disingkirkan. Pasti sokongan yang lebih besar dan bantahan di jalan yang lebih hebat diperlukan. Apa yang penting, penunjuk perasaan tidak boleh menumpahkan darah sesama umat Islam dan rakyat, juga tidak merosakkan harta awam dan mereka yang tidak bersalah.
Dunia Arab dan Islam mesti berubah. Eropah telah lama menyingkirkan pemimpin mereka yang korupsi dan kuku besi. Kadang-kala hak binatang yang dinikmati oleh Barat lebih baik dari hak manusia yang hidup di bawah rejim-rejim yang berkuasa di Dunia Arab dan Islam. Jatuh! Jatuh! Jatuhlah segala rejim!
No comments:
Post a Comment