Friday, December 5, 2008

KATA-KATA TANPA MAKNA


Kebiasaannya manusia melakukan apa yang dia percaya. Kepercayaan itu mungkin didasari ilmu atau pengalaman atau pun gerak hati sahaja tetapi yang pasti kepercayaan itulah yang menggerakkan tindakan. Adakah kepercayaan itu boleh diubah atau ditukar dengan kepercayaan baru? Ya, jika kita mahu. Tetapi sayangnya otak manusia bukan seperti komputer yang boleh diinstall dan remove apa-apa software yang kita mahu.

Tidak dapat tidak perubahan itu mesti bermula dengan ilmu. Kutiplah mana-mana sumber ilmu yang kita yakin. Bak kata abang burhan, belajarlah melalui pemerhatian. Pemerhatian yang membawa kepada uji kaji atau praktikal yang mana hasil akhirnya kesimpulan yang bukan kita mahu tetapi kehendak uji kaji. Bagi yang tidak faham rajin-rajinlah bereksperimen.

Ada orang percaya untuk menolak kehidupan dunia, hidup ala kadar, tidak mahu memakmurkannya dan serah sahaja urusan dunia kepada sesiapa sahaja. Politik, pemerintahan, sains, ekonomi, budaya dan seni dipinggirkan. Bukankah kita selalu menyebut Islamlah yang mengatur kehidupan kita daripada hal-hal sekecil masuk tandas sehinggalah soal berumahtangga dan pemerintahan. Segala - galanya ada hak Islam.

Jika kita yang faham Islam tidak mencaturnya,siapa lagi yang hendak diharapkan.
Hari ini profesionalisma kita amat terasing dari Islam. Ustaz, guru, doktor, ahli ekonomi, ahli politik, jurutera, ahli sains dan banyak lagi hilang fokus untuk menzahirkan Islam atau lebih tepat lagi untuk menjadi mukmin profesional. Ada orang percaya profesionalisma ini tiada kaitan dengan Islam. Hak Islam sudah mula dijuzuk-juzukkan. Belajarlah daripada cahaya putih yang menyerakkan cahaya pelangi.

Saya yakin dan percaya semua ini tidak akan terangkum jika kita bersendirian. Kita tidak akan mampu mencapai kumpulan sasar jika kita berseorangan. Kita tidak akan mampu jika hanya satu gerak kerja dan satu cabang yang kita tumpu. Belajarlah daripada sel-sel dalam badan kita yang bekerja mengikut fungsi masing-masing tetapi sel-sel ini tidak pernah terputus hubungan berjemaah. Belajarlah daripada mata, telinga, kepala, lidah, hidung, tangan dan kaki yang melakukan kerja berbeza tetapi saling berhubungan untuk memastikan kita terus hidup.
Hasilnya percakaran sesama kita. Manhaj kita yang terbaik, metod kita yang terbaik. Pernahkah kita melihat tangan dan mulut kita bergaduh? Sebagai asasnya fahamilah fungsi seorang makhluk.

Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku. (Adz Zaariyat:56)

Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui." (Al Baqarah:30).

Tidak perlu tunggu kita khatam bepuluh kitab untuk memahami Islam. Fahamilah bahawa kita hidup hanya untuk Islam dan membuktikan cinta agung kepada Maha Pencipta. Belajarlah untuk mencari makna sebuah kehidupan.

No comments:

Post a Comment


Total Pageviews

free counters
Powered By Blogger