Saturday, January 8, 2011

Apabila Sejarah Dibaca dengan NaFsu

Biarkan sejarah bertutur dengan bahasanya. Sejarah tidak pernah menipu jadi jangan diugah bahasanya. Bahasa sejarah adalah fakta yang dilakonkan oleh watak yang semestinya mempunyai perwatakan seterusnya mengisi plot cerita berlatarkan tempat dan masa yang mungkin berbeza. Sejarah tidak pernah silap untuk merakam kerana kita juga adalah sebahagian ‘mangsa’ sejarah. Dan jangan lupa kepada pencatat sejarah di sebelah kanan dan kiri kita yang menulis setiap detik amal sejarah kita untuk dibentang kelak di hadapan Hakim Yang Maha Agong.

Sekarang hangat isu novel interlok karya SN Abdullah Hussain yang kononnya menyentuh sensitiviti kaum tertentu. Kenapa perkara ini berlaku? Yang anehnya lagi kenapa ia ditimbulkan kini sedangkan teks atau novel berkenaan sudah wujud lebih 20 tahun. Apakah 20 tahun lalu perkataan atau kandungan teks dalam novel berkenaan tidak salah, boleh diterima. Maafkan saya. Jika saya mengatakan kaum India dan Cina asalnya adalah pendatang adakah ia salah daripada sudut sejarah.

Yang menjadi masalah ialah apabila kita cuba mentafsir sejarah mengikut kaca mata nafsu.Perkara ini menjadi sensitif bukan kerana kita buta sejarah tetapi sudah menjadi darah daging pembentukan negara bangsa kita selamanya masih berasaskan perkauman. Kalau tidak percaya tengoklah acuan politik parti-parti di Malaysia. Rata-ratanya berasaskan kaum.

Perlu diketahui Interlok merupakan sebuah karya sastera yang lahir dari kreativiti dan imaginasi pengkarya dan bukannya buku sejarah yang bersumberkan fakta. Dan dalam pembelajaran Komsas ini, pelajar akan diajar nilai-nilai murni dan nilai tak murni dalam novel itu. Dari situ pelajar akan tahu apa yang baik dan tidak baik di kalangan kaum mereka sendiri.

Pengkaji sastera, Dr Mohd Hanafi Ibrahim, berkata keistimewaan Interlok adalah kerana ia mengisahkan bangsa Melayu, Cina dan India yang dibina secara terpisah dan diceritakan dalam bentuk mozaik, tetapi menjurus kepada pertemuan penyatuan bangsa seperti dalam bab akhir.

“Plot Interlok dibina dengan jurang perbezaan bangsa yang luas berbentuk fragmen sehingga ia boleh dianggap sebagai mozaik budaya, tetapi jurang berkenaan dikecilkan lalu berjaya memperlihatkan persefahaman bangsa.

Interlok sebenarnya sebahagian fragmen penting sejarah negara ini dari zaman penjajahan Jepun, darurat, Malayan Union dan akhirnya kemerdekaan dengan setiap bangsa menyumbang kepada pembinaan negara dan terbabit dalam sistem ekonomi.

“Lihat saja watak daripada Keluarga Maniam yang asalnya buruh, tetapi akhirnya anak mereka, Maniam berkhidmat sebagai inspektor polis, manakala Keluarga Chin Huat dengan bapa yang bersifat kapitalis, tetapi anaknya mempunyai sifat baik hati,” katanya.

Pandangan Dr Mohd Hanafi terhadap Interlok dikongsi Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Mohamed Saleeh Rahamad, yang menegaskan Interlok berada di pasaran sejak awal kemerdekaan tanpa sebarang krisis perkauman atau implikasi buruk.

Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Mohd Khair Ngadiron, berkata kajian mendalam dan teliti perlu dilakukan, sekiranya wujud dakwaan membabitkan isu sensitif ,tetapi sebarang kritikan mesti bukan diada-adakan atau bersifat andaian.

Interlok boleh dianggap karya nadir dalam sastera Melayu yang membincangkan isu pelbagai kaum dengan natijah akhirnya membawa kepada penyatuan bangsa yang berjaya digarap dengan baik oleh Abdullah.

‘Saya tidak bersifat perkauman’
SASTERAWAN Negara (SN), Datuk Abdullah Hussain, menafikan novelnya Interlok yang didakwa menghina bangsa Melayu dan India atau agama mereka seperti didakwa Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah yang juga Pengerusi Biro Pengaduan Awam. 

“Bagaimanapun, apabila mereka menetap dan berkeluarga di sini, mereka sudah melupakan niat itu sehingga anak mereka menganggap masyarakat Melayu sebagai rakan mereka,” katanya.


Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). Surah Al Hujurat:13.

Manifestasi perpaduan ummah sudah terang di hadapan kita. Inilah formulanya.
 

No comments:

Post a Comment


Total Pageviews

free counters
Powered By Blogger