Tuesday, January 11, 2011

Interlok: Kunci yang patut diguna oleh PAS

Bukan menangguk di air yang keruh tapi PAS perlu menggunakan segenap ruang yang ada untuk melebarkan pengaruh perjuangan dalam masyarakat. Pintu ke Putrajaya sedang terbuka. Perkongsian artikel daripada blog Khabar Lewat Kawat . Mohon pencerahan.



Apakah yang patut PAS lakukan (sebelum Mustafa Ali keluarkan kenyataan yang tampak terburu-buru dan Dr Mariah meluru-luru ke pra-perhimpunan membakar Interlok):-

1. Memanggil sasterawan dan budayawan yang ada dalam PAS dan Seniman Paksi Rakyat (Paksi) dalam satu pertemuan khas untuk mendapatkan pandangan dalam konteks Interlok sebaik saja isu ini dinyalakan. Pandangan ini boleh memberikan worldview kepada PAS terhadap isi kandungan novel, latar sejarah dan proses kreatifnya, kedudukannya sebagai karya nadir dalam konteks integrasi kaum serta pemilihannya sebagai teks KOMSAS.

Ini menimbulkan persoalan apakah PAS menyedari kewujudan tokoh penyair dan sarjana yang menggagas Teori Takmilah dalam puisi yang juga Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar dan Penerima SEA Write Award yang juga bekas calon PAS, Azizi Haji Abdullah dan dramatis terkenal tanah air, Che Shamsuddin Othman alias Dinsman? Oh ya, PAS masih ingat Sasterawan Negara (SN) Shahnon Ahmad? Di Kelantan juga, ada Abdul Hadi Muhammad dan juga Setiausaha Persatuan Penulis Kelantan, Abdul Hadi Ismail yang sering tampil dalam acara berkaitan kerajaan negeri serta bekas Setiausaha Politik terlama MB, Anbakri!

2. Meminta Pusat Penyelidikan PAS menyediakan kertas kajian terhadap novel Interlok dalam konteks karya sastera dan di luar konteksnya serta hubungannya dengan sejarah, sosio-budaya dan sosio-politik masa kini. Ini boleh dijadikan kertas panduan yang dapat membuka pandangan masyarakat terhadap kedudukan sebenar novel Interlok.

Ini juga menimbulkan persoalan apakah PAS sudah mewujudkan Lajnah Kebudayaan yang berfungsi memantau dan melihat isu-isu penting yang berlaku dalam soal bahasa, seni dan budaya yang sudah sekian lama diperjuangkan oleh beberapa seniman yang simpatik dan akrab dengan PAS. Juga memercikkan persoalan apakah jasa seniman seperti penyair dan pengarang itu hanya untuk membacakan puisi anti-BN atau dalam tempoh pilihan raya saja?

3. Melihat isu kasta yang diheboh-hebohkan dengan kaca mata Islam - iaitu keadilan sosial yang dikemukakan Islam. Setakat ini saya tidak membaca sebarang kenyataan daripada pemimpin PAS yang teringat betapa keadilan Islam yang tidak membeza-bezakan kasta, selain daripada kenyataan sensitiviti kaum. Apakah yang lebih besar diperkatakan - keadilan Islam atau sensitiviti pengundi? Sepatutnya, PAS sebagai jamaah Islam mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan tasawur Islam terhadap keadilan sosial, selain sebagai sebuah parti yang mementingkan keuntungan pilihan raya.

4. Memanfaatkan kewujudan Dewan Himpunan Penyokong PAS untuk membuat perbincangan dan pertemuan seawal mungkin dengan masyarakat India sehingga tidak perlu sampai seorang Ahli Parlimen terpaksa bergegas ke perhimpunan tidak puas hati dengan harapan dapat menyejukkan keadaan yang nampaknya gagal kerana kehadirannya tidak dapat menghalang hal itu daripada berlaku.

Semua point yang saya tulis ini sebenarnya menjurus kepada satu persoalan besar - apakah dasar PAS terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa pemersatu dan bahasa ilmu; dasar PAS terhadap kebudayaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang terangkum di dalamnya hal-hal yang berkait dengan budaya masyarakat majmuk dan kesenian dalam konteks Islam serta dasar PAS terhadap hal persuratan dan kesusasteraan yang berperanan dalam membina kemanusiaan umat di negara ini.


Credit to :Nazmi

No comments:

Post a Comment


Total Pageviews

free counters
Powered By Blogger